An armed civil defence volunteer guards Muslim students with a banner saying "we don't want violence" during an anti-violence rally attended by Muslim and Buddhist residents in Thailand's southern Narathiwat province on January 22, 2019. Madaree TOHLALA / AFP
Briefing / Asia 20+ minutes

Dialog Damai Selatan Thailand yang Tersekat

Rundingan antara kerajaan Thai dan kumpulan pemberontak utama di wilayah sempadan selatan Thailand sedang digantung, setelah menunjukkan beberapa kemajuan yang meyakinkan. Perubahan-perubahan dari segi struktur serta prosedur akan dapat membantu proses ini untuk terus berjalan pada ketika ia disambung semula. 

Apa yang baru? Setelah mencapai persetujuan dengan kerajaan Thai atas peta hala tuju (roadmap) untuk kedamaian pada Februari, kumpulan pemberontak Barisan Revolusi Nasional (BRN) menggantungkan dialog damai untuk menunggu pembentukan kerjaan baru selepas pilihan raya umum pada Mei. Penggantungan tersebut menunjukkan masalah-masalah yang serius, dan penundaan ini akan berterusan untuk beberapa bulan lagi.

Kenapa ini penting? Tergantungnya penyertaan BRN dalam dialog damai mencerminkan perselisihan faham dalaman atas hal ini, dan sayap tenteranya masih mencurigai reka bentuk serta objektif dialog ini. Kecurigaan ini mungkin boleh membawa kepada perpecahan kumpulan berkenaan, yang akan menjejaskan harapan bagi perdamaian. Keterlibatan masyarakat umum dalam proses damai juga masih terhad.

Apa yang harus dilakukan? Kepimpinan senior BRN harus menyertai dialog dengan mengadakan perwakilan yang seimbang antara sayap politik dan sayap tentera dalam delegasinya untuk mengelakkan perpecahan. Dalam melaksanakan konsultasi awam tentang penyelesaian, kerajaan Thai harus memberikan perlindungan undang-undang terhadap perwakilan BRN dan juga mereka yang terlibat dalam perbincangan awam.

I. Gambaran Keseluruhan

Rundingan antara kerajaan Thai dan kumpulan pemisah Melayu-Muslim Barisan Revolusi Nasional (BRN) sedang berlangsung. Pusingan dialog terakhir pada akhir Februari membuka landasan baru kerana para pihak membina peta hala tuju yang menuju persetujuan damai untuk menyelesaikan konflik yang berpanjangan selama dua dekad. Sejak itu BRN menolak pertemuan selanjutnya dengan alasan untuk menunggu pembentukan kerajaan baru setelah pilihan raya pada 14 Mei. Namun, jawapan yang diberikan ini mungkin hanya alasan. Delegasi BRN terperangkap antara kepentingan yang saling bersaingan, iaitu: menggerakkan proses ke depan dengan mencapai persepakatan dan menjaga kepercayaan sayap tentera yang masih menuju ke kemerdekaan. Delegasi BRN menghadapi risiko yang akan diasingkan daripada pejuang di lapangan, dan ini pula memungkinkan perpecahan kumpulan tersebut. Jika dialog disambung semula, perubahan struktur dan prosedur mungkin bermanfaat, seperti perwakilan yang seimbang antara sayap politik dan sayap tentera dalam delgasi BRN, penubuhan suruhanjaya parlimen untuk menyelia proses dialog dan menyediakan ruang untuk hubungan secara tak formal. Penyelesaian yang berkekalan juga memerlukan konsultasi tentang penyelesaian politik dengan masyarakat umum di wilayah sempadan selatan Thailand.

Pada bulan Mei, BRN secara senyap menggantungkan penyertaannya dalam dialog damai untuk menamatkan pemberontakan. Kumpulan tersebut berjuang untuk apa yang dianggap sebagai pembebasan tanah air orang Melayu, Patani, yang merangkumi sebahagian besar empat wilayah sempadan selatan Thailand. Penggantungan ini memberikan tamparan terhadap proses damai yang mula membawa harapan yang sederhana. Pada tahun yang lalu, para pihak bersetuju atas prinsip-prinsip tertentu sebagai garis panduan dialog, iaitu, mencari penyelesaian politik yang sesuai dengan kehendak komuniti Patani dan selaras dengan perlembagaan Thai, dan juga mengurangkan keganasan semasa konsultasi dengan masyarakat umum tentang penyelesaian dilaksanakan.

Walaupun BRN menyifatkan penundaan ini sebagai langkah untuk menunggu pembentukan kerajaan baru setelah pilihan raya Mei, terdapat juga pertimbangan yang lain. Pertama dan yang paling utama, keputusan kumpulan pemberontak ini untuk undur daripada proses mencerminkan ketegangan dalaman tentang hala tuju dialog. Para pihak bersetuju pada Mac2022 untuk mencari penyelesaian politik yang sejajar dengan perlembagaan Thai, dan ada yang menganggap bahawa gerakan ini telah pun menolak cira-cita lamanya untuk mencapai kemerdekaan melalui meja rundingan. Sayap tentera yang menolak ketentuan seperti ini pula menyatakan bantahannya terhadap dialog melalui operasi ketenteraan yang semakin kerap dan berskala besar. Para pejuang lebih memilih mati dalam pertempuran dengan pihak keselamatan daripada menyerah diri. Semakin ramai orang Melayu Muslim yang memberikan kehormatan kepada mereka sebagai syahid dalam perarakan jenazah, dan hal ini menunjukkan kemungkinan bahawa keganasan akan lebih dahsyat. 

Usaha kerajaan Thai untuk menjaga keselamatan di wilayah-wilayah paling selatang sering menunjukkan bahawa hubungan antara kerajaan dan masyarakat tidak terjamin – dan sering dipersoalkan sama ada usaha sedemikian mempunyai keabsahannya (legitimacy) atau tidak. Kebimbangan ini berpunca daripada penaklukan wilayah berkenaan dan pembinaan negara Thai yang mendahului pemberontakan sekarang. Pertunjukan jati diri Melayu Patani dan perbincangan tentang hak untuk menentu nasib sendiri menggelisahkan ramai pegawai Thai; pihak berkuasa selalu mengganggu para aktivis, dan memutarbelitkan maklumat. Sesetengah pegawai keselamatan masih menggemari cara-cara yang melumpuhkan BRN, termasuk penggunaan kekerasan, terutamanya dalam bentuk operasi pengepungan dan penggelodahan (cordon-and-search operations) yang sering berakhir dengan pembunuhan suspek oleh tentera. Maklumat daripada kerajaan yang mengelirukan dan tanggapan bahawa kerajaan juga sengaja melambatkan dialog damai – termasuk juga penolakan untuk menandatangani sebarang persetujuan – menambahkan kehampaan bagi orang ramai di wilayah sempadan selatan. 

Namun, oleh kerana dialog damai mempunyai matlamat kemanusiaan untuk menamatkan konflik – dan tiada mana-mana pihak yang berniat untuk mengetepikannya – maka para pihak harus menumpukan perhatian kepada langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengukuhkan landasannya. Sebagai permulaan, kerajaan baru Thai harus berusaha untuk menyambung proses semula sesegera mungkin, kerana BRN telah pun menyatakan bahawa ia akan kembali ke meja rundingan setelah kerajaan baru dibentuk. Kedua-dua pihak juga perlu bersedia untuk merancakkan perbincangan tentang isu-isu pokok (substantive issues), termasuk juga tentang apakah bentuk penyelesaian jangka panjang bagi konflik.

Beberapa perubahan patut dilakukan tentang struktur dan proses dialog. BRN perlu menangani perselisihan dalaman yang menjadi halangan bagi kemajuan proses. Mereka juga harus memastikan agar sayap tenteranya mempunyai wakil yang secukupnya dalam delegasi dialog BRN. Kepimpinan tertinggi BRN perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam dialog, baik untuk menghilangkan rasa curiga tentang sama ada dialog damai disokong oleh sayap tentera atau tidak, dan juga untuk menunjukkan kepercayaan mereka terhadap penyelesaian politik. Kerajaan baru Thai, setelah pembentukannya, harus menubuhkan suruhanjaya parlimen untuk memantau dialog damai, kerana ia boleh menjamin kesinambungan dialog walaupun kerajaan itu bertukar, dan juga boleh membantu penglibatan orang-orang Patani dalam proses damai melalui wakil rakyat yang dipilih.

Para aktor luar juga boleh membantu. Malaysia, sebagai fasilitator dialog damai, menekan pemberontak untuk menghapuskan perbincangan secara tak rasmi dengan kerajaan Thai. Langkah ini ternyata untuk mengekalkan pengaruhnya terhadap proses. Denagn sejarah kerajaan Malaysia yang selama ini memberikan perlindungan kepada BRN, maka kehendak kerajaan Malaysia sukar untuk ditolak bagi mereka. Setelah pilihan raya di Malaysia, kemenangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang mempunyai hubungan dengan wilayah-wilayah sempadan selatan Thai, bersama pelantikan fasilitator baru, memberikan harapan untuk kemajuan proses kepada sesetengah pihak, tetapi para anggota BRN secara peribadi masih menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tekanan daripada kerajaan Malaysia yang mahu menghapuskan perbincangan secara tidak rasmi dengan Thailand. Sikap seperti ini tidak akan membantu proses: para pihak perlu ada peluang untuk pertukaran secara tidak rasmi untuk mencuba gagasan dan mengetahui had tuntutannya. Malaysia harus bekerjasama dengan mereka untuk mengadakan aturan yang lebih terbuka supaya pertukaran secara tidak rasmi dapat disambungkan.

Kedua-dua pihak juga perlu menangani perasaan di kalangan rakyat wilayah sempadan selatan bahawa dialog damai terpisah daripada kepentingan orang tempatan dan tidak ada jalan bagi mereka untuk menyertainya secara berkesan. Jika dialog tidak mengambil kira aspirasi politik orang Patani, maka ada risikonya bahawa dialog hanya akan menjadi amalan perhubungan awam, sementara kumpulan pemisah pula tetap berpegang kepada strategi berdasarkan penggunaan keganasan. Bagi pihak berkuasa pula, peningkatan kebebasan bersuara akan dapat membantu. Kerajaan mungkin tidak selesa dengan konsultasi awam tentang perubahan status quo politiknya, tetapi mereka harus menahan keinginan untuk mengawal forum atau perbicaraan awam terlalu ketat. Kepada perwakilan BRN yang berada di luar negara, dan antaranya ramai yang ada waran tangkap bagi kes-kes keselamatan, kerajaan harus memberi jaminan bahawa mereka dapat menyertai konsultasi awam tanpa diambil sebarang tindakan undang-undang. Kearajaan juga harus mencari pihak ketiga yang sewajarnya sebagai orang tengah dan pemantau perbincangan agar rakyat di wilayah sempadan selatan menganggap proses ini sebagai adil. Kedua-dua pihak bukan sahaja perlu mencapai persetujuan, mereka juga perlu mendapat sokongan daripada orang-orang yang akan menjalankan kehidupan di bawah peraturan yang disetujui.

                                                                     Bangkok/Brussels, 25 Mei 2023

Subscribe to Crisis Group’s Email Updates

Receive the best source of conflict analysis right in your inbox.